MIC masih komponen BN - Saravanan

Iklan
Saravanan (dua dari kanan) menyerahkan komputer riba kepada penerima di Pejabat MIC Bahagian Tapah di sini pada Ahad.

TAPAH - MIC masih lagi komponen Barisan Nasional (BN) kerana Majlis Tertinggi parti itu belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan parti lain.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika ini Majlis Tertinggi MIC belum bermesyuarat untuk menentukan hala tuju parti.

Iklan
Iklan

"Setakat ni MIC masih lagi bersama BN sehingga keputusan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi. Kita masih parti komponen," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada seramai 50 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pejabat MIC Bahagian Tapah di sini pada Ahad.

Iklan

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti komponen yang meninggal gabungan itu tidak diterima semula, Saravanan menyokong penuh perkara tersebut.

"Betullah apa (Ahmad Zahid) cakap itu. Mana-mana parti keluar daripada BN terus keluar tak akan kembali.

Iklan

"Saya pun setuju dengan beliau," katanya yang juga Ahli Parlimen Tapah.

Terdahulu media melaporkan Ahmad Zahid mengingatkan parti komponen BN supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan itu kerana parti terbabit tidak akan diterima kembali.

Mengenai perkembangan penyertaan MIC ke dalam Perikatan Nasional (PN), Saravanan menjelaskan, belum ada keputusan dibuat mengenai perkara tersebut.