SHAH ALAM- Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan syarat kemasukan bagi universiti-universiti ternama di China seperti Universiti Tsinghua, Universiti Peking dan Universiti Shanghai Jiao Tong.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu hasil daripada perundingan yang dilakukan bersama institusi pengajian tinggi terkemuka di negara berkenaan.
"Dalam perundingan saya dengan universiti-universiti ternama negara China seperti Tsinghua, Peking, Shanghai Jiao Tong University, sijil UEC bukan syarat kemasukan.
"MARA mula hantar pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Beliau berkata, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) turut memperkenalkan penguasaan bahasa ketiga yang perlu dikuasai oleh pelajar sama ada bahasa Arab, Mandarin, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea.
"Pelajar-pelajar MRSM yang cemerlang SPM dan dapat menguasai salah satu daripada bahasa ini akan diberikan keutamaan untuk ditaja ke universiti-universiti terkemuka dunia di negara-negara tersebut.
"Matlamatnya untuk melahirkan generasi teknokrat, profesional yang menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ketiga samaada Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Perancis atau Sepanyol.
"Insya-ALLAH pemindahan teknologi dan kepakaran termasuk juga mewujudkan jaringan ekonomi dan perniagaan antarabangsa dengan negara-negara maju ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan pada masa akan datang apabila generasi akan datang menguasai lebih banyak bahasa," katanya.