Sukan SEA: Pearly-Thinaah tamatkan penantian emas satu dekad

Iklan
Pearly Tan dan M Thinaah (kiri) berjaya meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2025.

GANDINGAN beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah menepati ramalan apabila berjaya menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA bagi acara tersebut selepas mempamerkan aksi cemerlang pada Ahad.

Kejayaan manis di Gimnasium Universiti Thammasat itu hadir selepas pasangan yang menghuni ranking nombor dua dunia berkenaan menewaskan wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari dalam aksi final yang mendebarkan.

Iklan
Iklan

Namun, dalam perlawanan penentuan pingat emas itu, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras dan diberikan tentangan sengit oleh lawan yang berada di ranking ke-59 dunia.

Bagaimanapun, pengalaman memihak kepada pasangan negara untuk melakar kemenangan menerusi pertarungan tiga set 21-16, 19-21, 21-17.

Iklan

Kemenangan dramatik tersebut sekali gus menoktahkan penantian satu dekad kem badminton negara untuk melihat kilauan emas dalam acara beregu wanita di temasya dwitahunan itu.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara berkenaan adalah pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Iklan

Kejayaan pada edisi tersebut disumbangkan menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho yang menewaskan pasangan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei di pentas final.