KPM teliti 10 resolusi Melaka tangani salah laku pelajar

Iklan
Fadhlina (tengah) melawat surau Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam pada Ahad.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh 10 resolusi yang dibangkitkan Kerajaan Melaka, termasuk cadangan menarik bantuan pendidikan dan pelaksanaan hukuman rotan terhadap pelajar yang terlibat dalam salah laku seperti buli.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap resolusi tersebut akan dipertimbangkan dari segi keberkesanan serta kesannya terhadap dasar dan polisi pendidikan sedia ada sebelum sebarang keputusan dibuat.

Iklan
Iklan

“Kita akan teliti semua resolusi itu dan mempertimbangkan sama ada ia memberi kesan positif kepada keseluruhan polisi serta dasar yang sedang kita laksanakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, KPM menghargai pandangan dan sumbangan idea yang dikemukakan oleh Kerajaan Melaka serta semua pihak yang cakna terhadap usaha memperkukuh sahsiah dan akhlak pelajar.

Iklan

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Melaka dan semua pihak yang telah memberikan pelbagai pandangan kepada Kementerian Pendidikan untuk kami tambah baik dalam segenap aspek,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan KPM turut memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai Program Akses Komprehensif Tadika (PAKAT), khususnya bagi peringkat prasekolah.

Iklan

“Ia melibatkan kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah (PIBKS).

“PAKAT memberi ruang kepada ibu bapa dan komuniti untuk terlibat sepenuhnya dalam ekosistem sekolah, khususnya di peringkat prasekolah, bagi sama-sama menangani isu pendidikan dan pembangunan sahsiah anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu menjadi antara agenda penting kementerian dalam memastikan sumbangsaran komuniti dapat dimanfaatkan secara menyeluruh demi memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Insya-Allah, kita PAKAT ramai-ramai untuk terus menjayakan agenda pendidikan negara dan memastikan penglibatan penuh ibu bapa dalam sekolah,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Melaka mengemukakan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu merupakan antara dapatan penting hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, komuniti dan rakan strategik pendidikan Melaka selama dua hari.

Ab Rauf berkata, resolusi lain termasuk mewajibkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada semua murid sekolah rendah di Melaka, selain menjadikan ketua jabatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sebagai bapa angkat kepada sekolah bagi memantau disiplin pelajar.