BINTANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah kembali mencuri tumpuan, namun kali ini memilih untuk tidak memanjangkan kontroversi apabila menolak secara berseloroh untuk ditemu bual media selepas membantu The Reds menewaskan Brighton 2-0 pada Sabtu.
Salah yang sebelum ini mencetuskan ketegangan menerusi wawancara panas selepas aksi seri 3-3 menentang Leeds United minggu lalu dilihat lebih tenang walaupun menjadi buruan wartawan sejurus tamat perlawanan.
Pemain sayap itu yang diketepikan ketika kemenangan menentang Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara susulan kenyataannya mengenai hubungan dingin dengan pengurus Arne Slot, kembali disenaraikan dalam skuad selepas mengadakan perbincangan hati ke hati dengan pengendali tersebut.
Ketika melalui zon wawancara selepas kemenangan ke atas Brighton, Salah dengan nada bergurau menolak permintaan media untuk mendapatkan ulasannya.
“Dua minggu berturut-turut? Tidak,” gurau Salah sambil berlalu pergi, merujuk kepada wawancara kontroversinya minggu lalu.
Dalam aksi di Anfield itu, Salah dimasukkan pada minit ke-26 bagi menggantikan Joe Gomez yang mengalami kecederaan. Kemunculannya disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong Liverpool, tanda sokongan padu terhadap pemain berusia 33 tahun itu.
Salah tidak mengecewakan apabila sepakan penjuru yang diambilnya pada babak kedua berjaya disudahkan oleh Hugo Ekitike untuk gol kedua peribadinya dan pasukan, selepas penyerang itu membuka tirai jaringan seawal minit pertama.
Bantuan gol tersebut membolehkan Salah melakar sejarah baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mencatatkan penglibatan gol (jaringan dan bantuan gol) ke-277, sekali gus memecahkan rekod legenda Manchester United, Wayne Rooney yang mengumpul 276 sumbangan gol sepanjang kariernya.
Sementara itu, Arne Slot ketika ditemu bual Sky Sports enggan mengulas lanjut mengenai isu dalaman antara beliau dan Salah.
“Apa yang diperkatakan antara kami berdua, seperti yang saya tegaskan banyak kali, kekal antara kami sahaja. Dia kembali dalam skuad dan kami memang memerlukannya,” ujar Slot.
Perlawanan ini merupakan penampilan terakhir Salah sebelum beliau menyertai skuad kebangsaan Mesir bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
“Dia akan ke Mesir sekarang untuk AFCON, bermakna kami kehilangan seorang lagi pemain ketika pilihan yang ada sudah terhad.
“Namun kami sudah sedia maklum dari awal musim dia akan pergi dan mungkin satu atau dua pemain lain akan kembali daripada kecederaan,” kata Slot.