Perak kemuka cadangan bina susur keluar ke Lata Kinjang

Iklan
Saarani (enam dari kiri) menyampaikan Surat Tawaran Hakmilik serta Dokumen Hakmilik kepada peserta Kawasan Tanah Rancangan Pengumpulan Semula (RPT) Daerah Batang Padang di Kompleks Sukan Tapah di sini pada Sabtu.

TAPAH – Kerajaan negeri Perak telah mengemukakan cadangan kepada PLUS Malaysia Berhad supaya membina susur keluar khas ke Lata Kinjang bagi memudahkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) singgah ke pusat rekreasi berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu bertujuan mengurangkan kesukaran akses sedia ada selain memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya terutama ketika berlakunya kesesakan lalu lintas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada masa ini pengunjung yang mahu ke Lata Kinjang perlu keluar di Tol Tapah sebelum melalui pekan Tapah dan turun semula ke Chenderiang, yang dianggap agak jauh dan memakan masa.

"Dalam mesyuarat berkala yang diadakan oleh NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara), NCIA (Pihak Berkuasa Koridor Utara) kita dah mencadangkan supaya PLUS dapat menerima cadangan kerajaan negeri untuk membina jalan susur daripada highway terus pergi ke Latar Kinjang.

Iklan

“Jadi kalau PLUS setuju, pengguna Lebuhraya Utara Selatan dapat menggunakan susur keluar dan singgah sebentar di Air Terjun Lata Kinjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Batang Padang Sejahtera 2025 dan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Hakmilik serta Dokumen Hakmilik kepada peserta Kawasan Tanah Rancangan Pengumpulan Semula (RPT) Daerah Batang Padang di Kompleks Sukan Tapah di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan.

Saarani berkata, sekiranya cadangan pembinaan susur keluar itu direalisasikan, ia bukan sahaja mampu memberi imej baharu kepada Lata Kinjang, malah dijangka merancakkan ekonomi masyarakat Orang Asli di kawasan sekitar.

“Apabila orang ramai singgah, ia akan memberi imej baharu kepada Lata Kinjang dan masyarakat Orang Asli yang berniaga di situ juga, insya-Allah akan mendapat keuntungan.

“Jika perancangan kerajaan negeri ini menjadi kenyataan, ia bermakna akan wujud satu lagi tanda baharu dan satu lagi pertumbuhan untuk daerah Batang Padang,” katanya.