Peserta RXZ Forever Legend diminta jangan cetus provokasi - JPJ

Iklan
Mohd Misuari Abdullah

KOTA BHARU – Peserta program RXZ Forever Legend yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Februari ini di RTC Tunjong di sini diingatkan supaya menjaga tingkah laku serta tidak mencetuskan sebarang provokasi ketika hadir ke negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya tidak menghalang kehadiran peminat acara itu yang dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan difahamkan telah mendapat kelulusan kerajaan negeri serta pihak polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, JPJ sentiasa menyokong penganjuran program melibatkan anak muda namun kebimbangan utama adalah pergerakan peserta ketika datang dan pulang terutama membabitkan kumpulan besar penunggang motosikal.

“Kami tidak tekan sangat semasa program berlangsung, itu penganjur yang uruskan. Cuma yang merisaukan ialah perjalanan mereka datang dan balik. Gerombolan yang hendak datang dari luar Kelantan ini kita nasihatkan supaya rancang perjalanan dengan baik dan jangan bawa motosikal dalam keadaan berlumba.

Iklan

“Kami tidak halang mereka hadir, tetapi pesan kami jelas, elak provokasi seperti sengaja memecut, membuat bunyi bising atau menunjukkan aksi yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui sempena Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di sini pada Khamis malam.

Mohd Misuari turut meminta peserta mematuhi peraturan jalan raya kerana sebarang kelakuan yang menonjol seperti motosikal diubah suai secara ekstrem pasti akan menarik perhatian pihak berkuasa.

Iklan

“Datanglah ke Kelantan dengan aman. Ikut peraturan, Insya-ALLAH tiada siapa hendak kacau. Kami percaya pihak polis juga sependapat dengan kami dalam isu ini. Kalau motosikal itu jelas diubah suai secara keterlaluan, tidak mungkin JPJ akan ‘tengok sahaja’,” katanya.

Beliau berharap semua peserta dapat menikmati program itu dengan selamat dan menjaga imej komuniti permotoran di negara ini.