SAN FRANCISCO – Detik cemas seorang wanita bertukar pengalaman manis apabila dia selamat melahirkan bayinya dalam sebuah teksi tanpa pemandu Waymo, Isnin lalu.
Insiden itu berlaku ketika wanita berkenaan menempah Waymo untuk ke Pusat Perubatan Universiti California San Francisco (UCSF), lapor The San Francisco Standard.
Menurut syarikat pengendali Waymo, pasukan sokongan jarak jauh pada awalnya mengesan 'aktiviti luar biasa' dalam kenderaan autonomi tersebut.
Mereka bertindak menghubungi penumpang dan seterusnya memaklumkan situasi itu kepada pasukan kecemasan.
“Wanita berkenaan melahirkan bayinya di tempat duduk belakang dan kedua-duanya tiba di hospital dengan selamat, malah lebih awal daripada perkhidmatan kecemasan.
"Selepas menghantar ibu dan bayi tersebut, kenderaan berkenaan dikeluarkan sementara daripada perkhidmatan untuk tujuan pembersihan," katanya.
Waymo mengendalikan kumpulan teksi tanpa pemandu di sekitar beberapa bandar utama Amerika Syarikat termasuk San Francisco dan Los Angeles.
Kenderaan putih yang dilengkapi dengan pelbagai penderia itu bergerak di sekitar landskap bandar yang dikenal pasti menggunakan sistem pemetaan dan pengkomputeran dalaman.
Walaupun agak aneh dengan tempat duduk hadapan yang kosong dan stereng berpusing sendiri, kenderaan itu popular dalam kalangan penumpang di negara 'Uncle Sam' itu.