YALA - Pihak berkuasa berjaya menangkap seekor kera liar yang didapati menyerang dan membunuh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah rumah dalam kawasan dusun terpencil di daerah Betong, Rabu lalu.
Kera jantan itu berjaya memasuki perangkap yang dipasang berhampiran dengan rumah mangsa, Chaiyaphum Sae-Ung, 67, lapor The Thaiger.
Presiden Kelab Pencinta Haiwan Betong, Patcharin Prathummek berkata, operasi tangkapan dilakukan selepas menerima laporan kejadian itu, Sabtu lalu.
Operasi berkenaan turut membabitkan kerjasama pegawai dari Pejabat Kawasan Perlindungan Wilayah 6 (cawangan Pattani) dan Taman Negara Bang Lang di Yala.
Pihak berkuasa percaya kera liar tersebut kembali ke kawasan itu untuk mencari seekor kera betina yang dibela mangsa sebagai haiwan peliharaan.
Usaha menangkap kera berkenaan melibatkan pemasangan perangkap, penggunaan senapang ubat pelali dan memindahkan kera betina itu dari kawasan tersebut.
Pegawai turut mengambil langkah berjaga-jaga berikutan haiwan itu bertindak agresif ketika operasi translokasi dilakukan.