OSLO - Pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado akhirnya muncul di khalayak umum di Norway setelah bersembunyi sejak Januari lalu.
Machado, 58, sanggup melalui perjalanan yang berisiko untuk tiba di Oslo pada tengah malam Rabu sambil melambaikan tangannya dari balkoni hotel meskipun berdepan larangan perjalanan dikeluarkan Caracas dan bakal digelar sebagai pelarian.
Wanita berani itu nekad ke Norway semata-mata untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan 2025 yang dianugerahkan kepadanya atas perjuangan bagi mencapai peralihan yang adil dan aman daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi.
Difahamkan, anaknya, Ana Corina Sosa terlebih dahulu mengambil hadiah itu bagi pihaknya.
Machado mendedahkan dia sudah tidak bertemu tiga anaknya selama dua tahun selepas mereka dihantar ke luar negara atas sebab keselamatan.
Penentang utama Presiden Nicolas Maduro itu berulang kali menggelar pemerintahannya sebagai satu jenayah dan menggesa rakyat agar bersatu untuk menggulingkannya.
Pemerintah juga mengancam penahanannya kerana meminta campur tangan asing malah melabelnya sebagai 'pengganas' kerana membantah keputusan pilihan raya yang berpihak kepada Maduro.
Machado didakwa terlibat konspirasi, keganasan dan menghasut kebencian yang mewajarkan tangkapan ke atasnya. - Agensi