KOTA KINABALU - Anak kepada Allahyarham bekas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan membuka peluang kepada mana-mana individu yang memenuhi kriteria tertentu untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Dalam satu hantaran di Facebook, Mohd Naim yang juga Ketua Pemuda Kinabatangan menjelaskan, DUN Lamag bukan sekadar kawasan baharu, sebaliknya sebuah tanah perjuangan yang terbina melalui keringat dan maruah rakyatnya.
"Sejak diwujudkan pada 2020, suara Lamag mesti terus berkumandang dengan penuh harga diri.
"Sebagai pengarah yang diamanahkan untuk mempertahankan kemenangan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025, saya sedar betapa besar sentimen menggantikan Allahyarham Ayahanda saya.
"Saya hargai sokongan yang mahu saya sendiri bertanding, namun calon adalah keputusan parti dan bukanlah keputusan peribadi semata-mata. Selaku ahli yang setia, saya menghormati sepenuhnya apa sahaja keputusan itu," tulisnya pada Khamis.
Menurut Bendahari Pemuda UMNO itu lagi, secara peribadi beliau tidak berniat untuk bertanding di kerusi tersebut.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Lamag yang telah menerima Allahyarham Ayahanda saya sebagai pejuang mereka. Lamag harus dikembalikan kepada anak jati Lamag untuk diteruskan perjuangannya.
"Namun tanggungjawab saya selaku pengarah belum selesai, kerusi Lamag perlu saya kekalkan milik BN," katanya.
Beliau turut menegaskan, parti perlu segera menampilkan pengganti yang layak dan mempunyai jiwa rakyat.
"Sebagai cadangan, saya menggariskan beberapa kriteria calon yang tidak boleh dikompromi iaitu calon perlulah merupakan anak jati Lamag yang lahir, membesar serta menetap di Lamag.
"Berumur 50 tahun ke bawah kerana untuk menjalankan amanah ini perlukan kudrat yang sempurna dan calonnya perlu agresif.
"Mempunyai pendidikan agar dapat memimpin masyarakat di sini dengan ilmu yang tinggi dan setia kepada perjuangan parti dan mempunyai kesetiaan yang tinggi seperti Bung Moktar," ujarnya.
Katanya lagi, beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang memenuhi kriteria tersebut untuk bersama melangkah ke medan juang.
"Selaku pengarah saya akan pertaruhkan maruah saya dan kerja berhabisan untuk memastikan kemenangan calon tersebut," katanya.
Mohd Naim berkata, Lamag kini memerlukan pemimpin yang berani, dekat dengan rakyat dan sanggup bertempur demi agama, bangsa serta tanah air.
"Tanpa ragu, tanpa gentar," tegasnya.
Allahyarham Bung Moktar, yang menyandang kerusi berkenaan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di sini pada Jumaat lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.
Sebelum itu, Mohd Naim antara disebut-sebut sebagai calon memandangkan beliau juga aktif berpolitik dan kini memegang jawatan penting dalam Pemuda UMNO sama ada peringkat Bahagian atau Pusat.