Fahami dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan - Akmal Saleh

Iklan
Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Pemuda UMNO memberi teguran kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum meminta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan perkara itu apabila UEC tidak menepati aspek penting dalam dasar berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebagai seorang menteri Kabinet, beliau seharusnya lebih mengetahui dan memahami intipati dasar negara itu.

"Dasar Pendidikan Negara ini ada tiga, iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, mesti menggunakan kurikulum yang sama berorientasikan negara dan yang ketiga adalah mesti menduduki sistem peperiksaan yang sama.

Iklan

"Untuk makluman Kor Ming, UEC ini tidak langsung menepati ketiga-tiga dasar tersebut dan bagaimana kita hendak iktiraf?" katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Rabu.

Muhamad Akmal berkata, berbanding dengan Singapura, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai sekolah vernakular dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Iklan

"Kita sudah memberi kelonggaran kepada UEC sejak 1975 untuk dilaksanakan di sekolah swasta oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Sewaktu Datuk Seri Najib Razak menjawat jawatan sama, sijil UEC ini boleh diterima pakai untuk masuk ke IPTS dan kerajaan membenarkan lulusan UEC diterima masuk dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Cina di bawah IPG, Kementerian Pendidikan ketika itu.

"Pada tahun 2019, UEC diiktiraf untuk peperiksaan PSAG (Sijil Amalan Guaman) yang mana kenyataan telah dikeluarkan oleh Peguam Negara ketika itu," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mengiktiraf UEC tersebut.

"Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jangan lakukan kerana selagi UEC ini tidak menepati dasar pendidikan negara.

"Saya minta tiada keperluan untuk kita mengiktiraf UEC dan kita tidak akan berkompromi untuk kerajaan mengiktiraf UEC ini," katanya.

Media pada Selasa melaporkan Kor Ming akan berjumpa dengan Anwar untuk meminta UEC diiktiraf.

Kor Ming juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan tidak khuatir.