Mufti Perlis digesa tampil serah maklumat berkaitan kultus Korea - Saifuddin Nasution

Iklan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bulan Disember 2025 di Kompleks Setia Perkasa pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin digesa untuk tampil menyerahkan maklumat berkaitan dengan dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea yang sedang aktif di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya mempelawa Dr Mohd Asri untuk tampil membekalkan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa, tentunya beliau mempunyai maklumat seperti disebut," katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sebuah gerakan kultus berasal dari Korea menggunakan nama Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang sedang aktif di Malaysia.

Iklan

Beberapa hari lalu, Dr Mohd Asri menerusi hantaran di laman Facebooknya turut mendedahkan ramai Ahli Parlimen Muslim dan individu penting di Parlimen turut dilihat aktif membantu gerakan kultus tersebut dan satu taklimat mengenainya telah disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus yang menangani isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terlibat.

Iklan

"Memang itu tugas hakiki dalam Cawangan Khas, ada satu Cawangan Khas khusus untuk itu," jelas beliau.