TAIPING - Seorang siak surau parah selepas ditetak berulang kali oleh seorang lelaki bersenjatakan parang di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 3.13 petang itu, mangsa, Normuda Mohd Noor, 68, sedang berada di kawasan surau berkenaan sebelum dihampiri suspek berusia 55 tahun yang dikenalinya.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, suspek dengan membawa sebilah parang bertindak menyerang dan menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan tangan.
"Kejadian menyebabkan warga emas itu mengalami kecederaan serius.
"Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa.
Katanya, dalam kes ini, suspek berjaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping sekitar jam 4.30 petang tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Semakan mendapati suspek merupakan pesakit psikiatri yang pernah menerima rawatan di Hospital Taiping.
"Rekod juga menunjukkan lelaki itu mempunyai 16 rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik, selain ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis morphine," katanya.
Menurut Mohamad Nasir, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Taiping pada Khamis bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Insiden berkenaan turut tular di media sosial apabila beberapa gambar mangsa berlumuran darah di kawasan surau dikongsi orang awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.