[VIDEO] 'Ingatkan kebakaran kecil, tak sangka ragut nyawa bekas isteri, anak angkat kami'

Iklan

BUTTERWORTH – Luluh hati seorang lelaki apabila mengetahui bekas isterinya terkorban dalam kebakaran membabitkan rumah sewa wanita itu di sini pada pagi Rabu.

Menurut Kamarozlan Muhammad, 57, walaupun telah berpisah dengan bekas isterinya, Hayani Yaakob sejak berbelas tahun lalu, hubungan mereka kekal baik sehingga kini.

Iklan
Iklan

Kamarozlan yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Jumaat lalu ketika menghantar bekalan makanan.

“Dia ada mesej saya beberapa hari lalu beritahu beras, barang dapur dan pasir kucing sudah habis. Jadi saya beli semua barang keperluan itu dan hantar pada Jumaat.

Iklan

“Masa itu kami tidak berbual panjang. Selalunya begitu, kalau dia perlukan apa-apa, dia akan mesej saya. Tak sangka itu rupanya pertemuan terakhir kami. Walaupun sudah berpisah, kami tetap baik dan tidak bermusuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kedudukan mayat dua beranak (bertanda pita kuning) yang rentung dalam kebakaran di rumah sewa mereka pada pagi Rabu.

Iklan

Tambahnya, arwah sudah tinggal di rumah sewa itu sejak lebih lima tahun bersama anak lelaki dan seorang anak angkat.

“Sebelum ini, anak sulung saya, Nini Quraisha Kamarozlan tinggal bersama arwah. Selepas berkahwin, dia berpindah ke rumah suami. Jadi yang tinggal di sini hanyalah arwah, anak lelaki kedua dan anak angkat.

“Beberapa bulan lalu, anak kedua dapat kerja di sebuah syarikat cari gali di Pengerang, Johor. Mungkin dia sedang bercuti, sebab itu dia berada di rumah ketika kejadian,” katanya sebak.

Kamarozlan berkata, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu menerusi panggilan telefon daripada Nini Quraisha sekitar jam 10.20 pagi.

“Saya ingat kebakaran kecil saja sebab ketika itu saya berada di Balik Pulau atas urusan kerja. Tak sangka kejadian ini meragut nyawa bekas isteri dan anak angkat kami.

“Arwah isteri orang Perlis. Saya belum pasti lokasi pengebumian kerana menunggu ahli keluarganya tiba. Anak lelaki saya pula sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan stabil,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna.

Dalam kejadian jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an, Daniel Quyum Kamarozlan berjaya dibawa keluar selepas ditemui cedera berhampiran pintu dapur pada jam 10.21 pagi.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa iaitu Hayani dan anak angkatnya, Andra, berusia sekitar empat hingga lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.