MELAKA - Seorang anggota bomba yang sebelum ini berdepan masalah obesiti berjaya menurunkan hampir 40 kilogram (kg) dalam tempoh enam bulan, hasil disiplin pemakanan dan senaman konsisten melalui Program Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFITER) 2025.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, PBK I Mohd Lokman Ghani, 45, sebelum ini mempunyai berat 112.9kg kini berjaya mencapai berat 75kg.
Menurutnya, perjalanan penurunan berat badan itu bermula dengan langkah kecil iaitu berhenti mengambil gula selama sebulan sebelum memulakan program IFITER.
“Selepas itu, saya mula mengamalkan pemakanan seimbang. Makanan tidak sihat saya tinggalkan, selain hanya ambil karbohidrat dan protein seperti telur serta isi ayam.
“Saya ambil buah-buahan, kurangkan makanan berminyak dan jarang makan nasi, contohnya dalam sebulan mungkin dua kali sahaja,” katanya selepas hadir pada Perhimpunan Bulan Disember 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Majlis itu disempurnakan Pengarah JBPM Melaka, Zaidi Ma’at di Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil pada Selasa.
Pada program itu, Mohd Lokman dinobat Johan Pertandingan Cabaran Penurunan Berat Badan kategori Obes ke Overweight selepas mencapai penurunan keseluruhan 37.9kg.
Mohd Lokman berkata, selain kawalan pemakanan, aktiviti fizikal turut memainkan peranan besar dalam transformasi dirinya.
“Dalam tempoh enam bulan ini, saya berlari lebih kurang 1,000 kilometer. Sebulan terakhir sebelum sesi penimbangan, saya tambah latihan renang supaya badan lebih ‘fit’.
“Saya juga mengamalkan puasa berselang (IF) 20:4 iaitu 20 jam berpuasa dan empat jam waktu makan. Dalam tempoh itu, saya hanya mengambil makanan yang direbus atau dipanggang, semuanya tanpa gula,” katanya.
Beliau berkata, penurunan berat badan tersebut memberi kelebihan besar dalam tugas hariannya sebagai anggota bomba.
“Sekarang kerja lebih mudah, badan lebih ringan dan tangkas. Berat badan sebelum ini menyukarkan pergerakan, sukar mencari pakaian sesuai dan menjejaskan tugas.
“Perubahan ini turut memberi inspirasi kepada rakan setugas untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup lebih sihat. Anak buah pun ikut sekali buat latihan kerana mereka nampak perubahan saya,” katanya yang menetap di Bukit Rambai dan mempunyai seorang anak.
Sementara itu, Zaidi berkata, program IFITER yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Wellness Hub Alor Gajah dan JBPM Melaka itu menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan warga bomba.
“Program ini bukan sekadar cabaran menurunkan berat badan, tetapi usaha membudayakan gaya hidup sihat, meningkatkan disiplin diri dan memupuk kesedaran terhadap pengurusan kesihatan secara berterusan.
“Kecergasan anggota ialah aset terbesar organisasi kerana ia secara langsung meningkatkan keberkesanan operasi penyelamatan, pemadaman dan kesiapsiagaan bomba,” katanya.
Menurut beliau, program itu disertai 60 peserta termasuk 56 lelaki dan kesemuanya berjaya menurunkan berat badan.
Daripada jumlah itu, seramai 20 peserta mencatatkan Indeks Jisim Badan (BMI) di bawah paras 30.