Polis buru suspek diupah along lakukan khianat guna api

Iklan
Polis giat memburu suspek yang melakukan khianat dengan api di sebuah rumah di Taman Universiti pada awal pagi Sabtu lalu.

JOHOR BAHRU – Polis giat memburu suspek yang dipercayai diupah sindiket ceti haram atau along dari Singapura, yang menaiki motosikal dan melakukan khianat dengan api di sebuah rumah di Taman Universiti di sini pada awal pagi Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.01 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

Iklan
Iklan

“Lelaki berkenaan melaporkan lantai rumahnya terbakar dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 4.18 pagi hari yang sama.

“Lelaki itu turut memaklumkan menemui serpihan kaca di lantai yang terbakar, termasuk satu nota yang dipercayai dilemparkan suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Azrol Anuar berkata, lelaki itu melaporkan perbuatan tersebut dilakukan bagi menuntut anaknya membayar pinjaman sedangkan pinjaman itu sudah dibatalkan, namun suspek masih meminta bayaran.

Katanya, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki berhenti di hadapan rumah sebelum melakukan perbuatan itu.

Iklan

“Mereka turut menampal notis pada tiang pagar yang mencatat nama anak lelaki mangsa dan memberikan amaran supaya menjelaskan wang dengan segera.

“Mangsa juga telah menghubungi anaknya yang bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura, untuk bertanyakan sama ada benar meminjam wang daripada along.”

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 14 tahun serta dikenakan denda.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes jenayah tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan,” katanya.