TAIPING - Seorang juruterbang dan pelatih cedera selepas sebuah pesawat ringan dinaiki terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail mengesahkan, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu melibatkan pesawat jenis microlight kira-kira jam 10.30 pagi, selepas panggilan diterima melalui sistem NG MERSS 999.
Menurutnya, pesawat berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.
"Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal.
"Kedua-dua mangsa merupakan lelaki berusia 46 dan 40 tahun telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, polis menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa, termasuk penyelarasan maklumat dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan kawalan risiko dan keselamatan penduduk sekitar dilaksanakan secara berkesan.
Video insiden tersebut tular di media sosial menunjukkan orang ramai cuba membantu mangsa sejurus kemalangan berlaku.