CovidSinar: 5,000 topeng muka akan diagihkan esok

Iklan
Sukarelawan Tabung CovidSinar menyusun peralatan kesihatan yang diterima di pusat pengumpulan yang kini beroperasi di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.

SHAH ALAM - Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) bakal mengagihkan 5,000 keping topeng muka ke beberapa klinik kesihatan di Lembah Klang dan Selangor esok.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, topeng muka yang diterima itu akan diagihkan kepada petugas kesihatan di beberapa klinik kesihatan yang berada di zon merah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kawasan yang diberi perhatian seperti di Lembah Pantai yang kini mencecah 167 kes dan menjadi antara kawasan tertinggi penularan wabak koronavirus (Covid-19) sebagaimana di Petaling Jaya.

"Kita memperuntukkan sekurang-kurangnya 2,000 topeng muka untuk diagihkan di Lembah Pantai dan juga Titiwangsa bagi memastikan bekalan ini tidak terputus.

Iklan

"Baki selebihnya kita akan agihkan di beberapa klinik kesihatan di sekitar Selangor mengikut keperluan mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Auzani berkata, pihaknya juga masih menunggu beberapa barangan keperluan petugas kesihatan daripada pembekal yang dijangka diterima dalam masa terdekat.

Iklan

Katanya, antara barangan tersebut termasuklah 2,000 pasang Personal Protection Equipment (PPE), 250 liter ‘hand sanitizer’, 5,000 pasang ‘boots cover’ dan juga tujuh unit khemah.

Auzani (dua, dari kanan) ketika menyelaraskan pengagihan bantuan keperluan petugas kesihatan di Kumpulan Karangkraf semalam.

"Sehingga kini perbelanjaan kita telah mencecah sehingga RM220,000 untuk membeli barangan keperluan petugas-petugas kesihatan sejak ia dilancarkan Sabtu lalu.

"Kami turut mengharapkan pihak pengeluar dan pembekal dapat terus memberi kerjasama terbaik mereka sebagai mana sebelum ini dalam memastikan penghantaran barangan keperluan ini tidak tergendala memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan turut diperketatkan,” katanya.

Sabtu lalu Sinar Harian mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 016-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.