Benteng saja tak cukup

Iklan
Perahu menjadi pengangkutan utama setiap kali banjir di Rantau Panjang kerana air mengambil masa yang lama untuk surut. - Gambar kecil (Dr Balqis)

PUTRAJAYA – Masalah banjir di Kelantan tidak akan selesai dengan hanya membina benteng atau terusan kerana banjir monsun yang melanda negeri itu saban tahun bersifat kompleks, dinamik dan melibatkan banyak pembolehubah.

Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Balqis Mohamed Rehan menegaskan, pendekatan tunggal tidak berupaya menampung skala impak banjir di negeri itu.

Iklan
Iklan

“Hujan monsun di Kelantan biasanya lebat, lama dan meliputi kawasan luas. Air larian meningkat dengan cepat dan alirannya ke hilir menjadi perlahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keadaan itu membawa kepada pengumpulan air di pelbagai lokasi sehingga paras sungai naik dan melimpah.

Iklan

Jelasnya, benteng berfungsi sebagai lapisan perlindungan fizikal untuk menghalang limpahan.

“Benteng menahan air sungai daripada melimpah semasa paras meningkat dan menambah kapasiti sungai menyalurkan aliran ke hilir,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kaedah itu sering dipilih kerana kosnya lebih terkawal namun, kebergantungan mutlak kepada benteng dianggap tidak realistik.

“Benteng hanya boleh mengawal banjir sehingga paras tertentu sahaja. Untuk banjir besar, ia tidak mencukupi,” tegasnya.

Katanya, dalam hal kejuruteraan, benteng juga memerlukan keutamaan daripada aspek struktur.

“Pemilihan campuran tanah, permukaan dan kestabilan perlu diberi perhatian termasuk penggunaan cutoff di bawah tanah,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan mengurus aspek itu akan mempercepatkan kerosakan.

“Jika tidak, struktur benteng mungkin gagal dan integritinya cepat merosot,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terusan atau saluran lencongan pula bertindak menambah kapasiti pelepasan air.

Bagaimanapun katanya, proses itu bukan mudah untuk dilaksanakan kerana memerlukan rekabentuk berintegrasi dengan alam semula jadi, pengambilan tanah, penempatan semula dan tempoh pembinaan agak lama.