Gyokeres gesa rakan sepasukan tingkat kreativiti

Iklan
Gyokeres (kanan) kecewa dengan hail keputusan menentang Aston Villa pada Sabtu. Foto: Agensi

PENYERANG Arsenal, Viktor Gyokeres menggesa rakan sepasukannya untuk lebih kreatif selepas harapan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan dalam kekalahan tipis 1-2 kepada Aston Villa di Villa Park, Sabtu lalu.

Arsenal ketinggalan terlebih dahulu melalui jaringan Matty Cash pada separuh masa pertama sebelum Leandro Trossard menyamakan kedudukan di babak kedua, namun gol lewat Emi Buendia memastikan kemenangan buat Villa.

Iklan
Iklan

Biar pun tewas, Arsenal masih kekal sebagai pendahulu namun jurang mata dengan pencabar terdekat, Manchester City hanya dibezakan dengan dua mata.

“Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini. Ia bukan perasaan yang menyeronokkan tetapi ini baru Disember dan masih banyak perlawanan perlu dimainkan.

Iklan

“Kami perlu terus mencipta peluang dan melakukan percubaan ke arah gol kerana daripada situ, gol akan datang. Itu positif dan kami hanya perlu perbaiki beberapa perkara lain,” kata Gyokeres.

Penyerang Sweden itu turut mengingatkan bahawa bola sepak sentiasa ada naik turunnya.

Iklan

“Jika anda menjaringkan gol pada saat-saat akhir, itu perasaan luar biasa tetapi kadang-kadang boleh jadi sebaliknya.

“Hari ini, malangnya, ia memihak kepada mereka. Ia sukar, tetapi kita belajar daripadanya,” katanya lagi.

Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta pula menegaskan bahawa kekalahan itu bukan pengakhiran.

“Itulah realiti liga. Kami melalui banyak gelanggang sukar dan walaupun keputusan boleh berbeza, pasukan telah menunjukkan prestasi luar biasa.

“Sekarang masa untuk bangkit dan fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Arsenal akan mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara menentang kelab Belgium, Club Brugge sebelum berpeluang kembali ke landasan kemenangan di liga apabila menanti kunjungan Wolves hujung minggu ini.