Tiga lelaki naik Honda Odyssey cabut lari selepas disergah curi kabel

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah Honda Odyssey berhenti di lubang utama dipercayai cuba mencuri kabel.

SEREMBAN – Tindakan pantas seorang pemandu menyergah tiga lelaki menaiki sebuah Honda Odyssey yang berhenti secara mencurigakan di 'mainhole' Jalan B3 Avenue, Oakland di sini baru-baru ini, berjaya menggagalkan cubaan mereka mencuri kabel.

Menerusi video tular, pemandu tersebut dilihat berhenti di sebelah kenderaan suspek sambil menjerit"u cuti kabel ke?" sebelum mereka melarikan diri meninggalkan lokasi.

Iklan
Iklan

Azahar

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 6.10 pagi, Khamis lalu.

Iklan

“Suspek dikatakan bertindak melarikan diri sebaik sahaja ditegur oleh pengadu yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

"Hasil semakan lanjut mendapati, nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu, selain terdapat laporan penafian daripada pemilik sebenar nombor tersebut selepas menerima notis saman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, berikutan itu, polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah, boleh menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222.