PENERAPAN taktikal dan keyakinan tinggi pemain menjadi pemangkin utama kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang menewaskan SK Ulu Yam Bharu 2-0 dalam final Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) di Padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Seksyen 5, Shah Alam di sini pada Sabtu.
Pengendali SK Serdang, Mohammad Ali, berkata pasukannya hadir dengan misi jelas untuk muncul juara dengan persediaan rapi sepanjang musim akhirnya membuahkan hasil sebaik permainan bermula.
Menurutnya, strategi menekan lawan secara agresif pada lima minit pertama setiap separuh masa menjadi ramuan utama yang memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan tersebut.
“Sejak awal lagi kami tekankan bahawa kami datang untuk menang. Kekuatan mental dan disiplin tinggi menjadi teras utama membawa SK Serdang menjulang Piala Raja Muda Selangor.
“Kami memberi tumpuan kepada serangan agresif pada lima minit pertama bagi memaksa lawan melakukan kesilapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, pelaksanaan taktikal itu bukan sahaja menyukarkan gerak balas Ulu Yam Bharu, malah memberi kelebihan psikologi kepada barisan pemainnya yang kekal konsisten hingga tamat perlawanan.
Aksi final itu menyaksikan Muhammad Arif Mohd Radzuan tampil sebagai wira apabila meledak dua gol pantas pada minit keempat dan kelima, sekali gus memastikan trofi menjadi milik pasukan Serdang.
Kehebatan pemain jersi nombor 10 itu turut melayakkannya merangkul dua anugerah individu Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik kejohanan.
Mengulas pencapaian pemain muda tersebut, Mohammad Ali mengakui Muhammad Arif memiliki pakej lengkap sebagai bakat masa depan yang jika diberi ruang dan peluang, Insya-ALLAH mampu mewakili Malaysia satu hari nanti.
“Saya tidak nafikan Arif pemain yang hebat dalam dribble dan shooting.
“Dia juga memberi semangat kepada rakan sepasukan, dan kerjasama mereka memberi impak besar kepada game play kami hari ini.
“Arif mempunyai potensi sangat besar untuk menjadi pemain profesional,” katanya.
Mohammad Ali turut menyifatkan kejayaan musim ini sebagai bukti program pembangunan skuad SK Serdang berada pada landasan tepat hasil disiplin, kerjasama dan keyakinan yang dibina sejak awal tahun.
Dalam pada itu, Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik Mohd Haziq Ikhwan Mohd Hatta dari SK Ulu Yam Bharu, manakala SK Serdang turut meraih Kumpulan Sorak Terbaik selepas mendominasi hampir semua kategori utama.
Hadir menyampaikan hadiah kejuaraan B-12 tahun itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hadir sama pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan timbalan pengerusi kejohanan, Hashim Anang.
SK Sungai Lang, Banting pula sebelum itu menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menundukkan SK Seri Pristana dari Sungai Buloh 2-1 di Padang SK Putra Heights 2.
Juara membawa pulang RM5,000, diikuti RM4,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM2,000 untuk tempat keempat, masing-masing disertakan trofi serta pingat.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah rendah seluruh Selangor, menerima tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.