SUBANG JAYA - Tindakan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis selepas video aksi mereka tular di media sosial pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan diterima kira-kira jam 5.13 petang pada Sabtu.
"Laporan polis dibuat seorang individu sebelum menyerahkan pautan video memaparkan dua remaja menunggang secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Putra Heights.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4 Disember lalu sekitar jam 5.55 petang memaparkan dua remaja berkenaan menunggang dari arah Persiaran Putra Perdana menuju ke Kampung Tengah sebelum melanggar lampu isyarat merah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, tindakan mereka hampir menyebabkan kemalangan apabila nyaris merempuh sebuah kereta yang sedang bergerak ketika lampu isyarat hijau sekali gus membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,
"Susulan maklumat diterima, anggota Trafik IPD Subang Jaya bertindak mengesan dan menahan kedua-dua remaja yang masih di bawah umur itu di Bukit Lanchong.
"Mereka dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495," katanya.