PATNA - Sebuah majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar huru-hara selepas pergaduhan tercetus hanya kerana hidangan pencuci mulut yang tidak mencukupi.
Menurut laporan NDTV, insiden itu berlaku di sebuah hotel di perkampungan Bodh Gaya di negeri Bihar, India pada akhir November.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kekecohan itu yang dikongsi di platform X turut menjadi tular.
"Pertengkaran berlaku selepas keluarga pengantin perempuan mengadu bekalan manisan popular rasgulla di kaunter makanan sudah habis.
"Para tetamu kemudiannya membaling pelbagai objek termasuk kerusi plastik dan pinggan. Ada juga yang saling menumbuk dan menyepak antara satu sama lain.
"Pasangan pengantin sedang menuju ke dewan perkahwinan itu ketika kekecohan itu berlaku. Beberapa tetamu cuba menyuraikan mereka hingga menyebabkan sejumlah individu cedera," jelas laporan itu lagi.
Sementara itu, polis mengesahkan keluarga pengantin perempuan bertegas mahu memfailkan aduan selepas pihak lelaki membatalkan majlis tersebut.
Ibu pengantin lelaki juga mendakwa keluarga perempuan sempat 'melarikan' barang kemas yang sepatutnya menjadi hadiah buat bakal menantunya. - Agensi