Bakal pengantin maut, SUV terbabas jatuh gaung

Iklan
SUV dinaiki kedua mangsa terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 61 meter dalam kejadian di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi - Aring dekat Bukit Kawah, Hulu Terengganu pada Jumaat. Foto Polis

HULU TERENGGANU - Bakal pengantin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi - Aring dekat Bukit Kawah, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Hassan Shazali, 52, yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan Suzaimah Che Azis, 34, pekerja kantin sekolah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pasangan terbabit menaiki SUV jenis Toyota Fortuner dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu menuju ke rumah mereka di Gua Musang, Kelantan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa melalui laluan yang sebenarnya telah ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh sebelum ini.

Iklan

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 61 meter.

“Kedua-dua mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Difahamkan, kedua-dua mangsa dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember depan.

Menurut Sharudin, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

“Keadaan jalan di lokasi merupakan jalan persekutuan yang tidak rata, ditutup sepenuhnya kepada kenderaan serta berada dalam kawasan tanah runtuh ketika kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.