Fahmi tempelak Ahmad Fadhli dakwaan Kabinet campur tangan urusan Dewan Rakyat

Iklan
Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menempelak tuduhan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa berlaku campur tangan Kabinet dalam urusan Dewan Rakyat sehingga melanggari kuasa dewan.

Menurut Fahmi, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menjelaskan kedudukan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Sangat jelas melalui kenyataan menteri bahawa usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.

"Ini menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri akan bertindak sepenuhnya berlandaskan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ahmad Fadhli Shaari sebelum itu menerusi kenyataan mendakwa, kenyataan Menteri JPM (Undang-Undang) bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menimbulkan kebimbangan serius tentang campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif.

Menurutnya, tatacara dan disiplin Ahli Dewan adalah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat sendiri bukan Kabinet.

Iklan

Mengulas lanjut Fahmi berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Fadhli itu adalah sangkaan jahat dan fitnah yang amat tersasar daripada fakta.

"Seeloknya, YB Fadhli membaca dan menghayati kenyataan tersebut terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan melulu.

"Tambahan pula, bukankah Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri telah menyatakan kesediaan untuk perkara ini dirujuk ke jawatankuasa berkenaan?" katanya.