'Jangan lindungi pegawai terlibat rasuah' - PM

Iklan
Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Putrajaya pada Jumaat. Foto Rosli Talib

PUTRAJAYA – Pimpinan kerajaan dan semua agensi penguatkuasaan diingatkan supaya tidak sesekali melindungi mana-mana anggota atau pegawai yang terbabit dalam salah laku serta rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan itu penting bagi memastikan undang-undang dilaksanakan tanpa memilih bulu, termasuk terhadap mana-mana pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri sendiri jika terbukti melakukan jenayah rasuah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keselamatan dan integriti negara hanya dapat dipertahankan apabila setiap pemimpin serta agensi penguatkuasaan berani mengambil tindakan terhadap anggota mereka tanpa berselindung.

"Kalau kebetulan ada anggota kita tersalah langkah, kalau ringan tindakan disiplin (boleh) diambil, mesti ada kesediaan daripada badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri, baru boleh selamat negara ini.

Iklan

"Bayangkan pejabat saya kalau ada, saya beritahu kepada Tan Sri Azam Baki, saya tidak melindungi sesiapa, terus ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di sini pada Jumaat.

Katanya, kerajaan diingatkan tidak leka terhadap ancaman manipulasi persepsi awam serta cubaan pihak berkepentingan untuk mengganggu-gugat sistem pentadbiran dan penguatkuasaan negara.

Iklan

"Masih wujud individu atau kumpulan tertentu yang mempunyai kekuatan sumber kewangan serta pengaruh politik untuk menyusup masuk ke institusi penting negara, termasuk perkhidmatan awam, kehakiman dan agensi penguatkuasaan.

"Kita tidak boleh naif, jika ada kelemahan, kita wajib memperbaikinya,” katanya.

Menurutnya, perbincangan turut diadakan bersama Ketua Pesuruhjaya sebuah agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap dakwaan dapat dijawab dengan jelas serta tindakan sewajarnya diambil.

"Orang ini mahu membina persepsi negatif, jika dibiarkan, ia boleh melindungi penjenayah dan akhirnya mencengkam negara.

"Sebab itu kita perlu jawab dengan tegas dan cepat, jangan tangguh," katanya.

Anwar menegaskan, integriti agensi penguatkuasaan mesti dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada prinsip negara hukum.

Tambahnya, sekiranya timbul pertikaian mengenai cara tangkapan atau operasi, agensi terbabit perlu segera memberikan penjelasan.