44 'mat rempit' buat bising ditahan, diarah solat taubat

Iklan
Kesemua individu ditahan diarah menunaikan solat sunat taubat dan solat Subuh secara berjemaah sebelum dibebaskan.

MARANG – Polis menahan 44 penunggang motosikal termasuk remaja berusia 14 tahun dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu–Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Mohd Redzuan berkata, rondaan dan pemantauan mendapati kumpulan penunggang motosikal itu berkumpul dan melakukan aktiviti mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kesemua individu terlibat dalam kegiatan itu telah ditahan dan diperiksa. Dalam pemeriksaan itu, polis turut menahan dua lelaki warga asing dipercayai warga Rohingya yang menunggang motosikal secara berasingan tanpa lesen.

"Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Payong sebelum tindakan lanjut diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Mereka yang ditahan dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu–Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, Marang di bawa ke balai polis.

Mohd Sofian berkata, seramai 19 remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun serta 25 individu berusia 18 hingga 41 tahun telah diperiksa manakala 38 buah motosikal disita mengikut akta sama.

Iklan

"Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke balai polis dan diarahkan untuk melakukan solat sunat taubat dan solat Subuh secara berjemaah sebelum dibebaskan.

"Polis mengeluarkan 152 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas terutama melibatkan kesalahan mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi kuat dan menganggu ketenteraman masyarakat setempat," ujarnya.

Beliau berkata, operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan kekuatan 24 anggota dan pegawai polis.

Antara individu yang ditahan dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu–Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, Marang awal pagi Jumaat.

Pada masa sama, beliau turut menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap pergerakan dan aktiviti anak-anak terutama melibatkan penggunaan motosikal.

"Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal di jalan raya tanpa lesen. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi membahayakan nyawa.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas serta sentiasa berwaspada ketika memandu," ujarnya.