YAPEIM salur RM1.4 juta dalam Program Bantuan Banjir 2025

Iklan
Antara barang bantuan yang disalurkan kepada 1,500 mangsa banjir.

PUTRAJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melancarkan Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025 dengan peruntukan hampir RM1.4 juta bagi membantu mangsa terjejas di beberapa negeri termasuk Perlis, Perak, Kedah dan Kelantan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, program tersebut dilaksanakan secara berperingkat membabitkan dua fasa utama mengikut situasi di lokasi terjejas.

Iklan
Iklan

"Fasa pertama ini telah disalurkan ketika bencana banjir dengan memberi tumpuan kepada bantuan segera seperti makanan asas, air mineral, kit kebersihan diri, pakaian asas, selimut serta keperluan bayi dan wanita," katanya ketika sidang media pelucuran Program Bantuan Banjir YAPEIM di sini pada Khamis.

Bagi fasa kedua beliau berkata, bantuan akan disalurkan dengan memberi fokus kepada pemulihan pasca banjir melibatkan pembersihan premis dan kediaman.

Iklan

"Lebih 1,400 kakitangan YAPEIM di seluruh negara digerakkan sebagai sukarelawan dalam program ini bagi membantu 1,500 mangsa yang telah dikenal pasti," ujar Abdul Khudus.

<

Abdul Khudus memegang bendera YAPEIM sebagai symbolik pelepasan konvoi sukarelawan ke lokasi bantuan banjir.

Iklan

Menurutnya, bantuan membaik pulih rumah, penggantian peralatan elektrik rosak serta pembekalan air bersih, sokongan logistik turut disalur bagi memudahkan pergerakan kerja bantuan di lapangan.

"Pemulihan pasca banjir penting agar keluarga dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas melalui situasi sukar," kata Abdul Khudus.

Tambah beliau, program tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai usaha memperkukuh jaringan bantuan masyarakat.

"Program ini membuktikan bahawa gabungan kekuatan institusi ummah mampu memberi impak yang jauh lebih besar.

"YAPEIM membawa pengalaman lapangan, MAIWP menyediakan sokongan kemasyarakatan dan kebajikan ummah sementara TH menggerakkan kekuatan jaringan dan tanggungjawab sosial korporatnya.

"Kerjasama ini adalah manifestasi konsep infak, ihsan dan solidariti selaras dengan tuntutan agama agar setiap kita memainkan peranan meringankan beban mereka yang ditimpa musibah," katanya.

Majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan itu turut melepaskan konvoi pacuan empat roda ke lokasi banjir yang telah ditetapkan.