Kerajaan salur bantuan petani terjejas banjir dalam masa terdekat - Mat Sabu

Iklan
Mohamad Sabu pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di MAEPS Serdang, pada Rabu.

SERDANG - Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada petani yang terjejas akibat banjir sebaik sahaja bancian kemusnahan pertanian disahkan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, penyaluran menerusi Tabung Bencana Pertanian 2025 berjumlah RM25 juta itu tidak dilaksanakan secara ‘one-off’, sebaliknya bergantung kepada keadaan semasa dan musim bencana yang berlaku.

Iklan
Iklan

“Tabung bencana ini bergantung kepada keadaan semasa dan dari musim ke musim. Kita tidak ambil pendekatan ‘one-off’ untuk satu tahun sahaja.

“Seperti sekarang, banjir baru surut di Kedah dan Perlis. Insya-ALLAH dalam beberapa hari lagi kita akan dapat angka sebenar sebelum bantuan disalurkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di MAEPS Serdang pada Rabu.

Iklan

Mohamad berkata, angka kerosakan tanaman sebenar masih sedang dikumpul dan pengesahan rasmi akan dibuat sebelum bantuan diagihkan kepada petani yang layak.

“Buat masa ini, pengesahan jumlah negeri dan kerosakan yang terjejas masih belum ada. Kementerian akan turun ke lapangan selepas banjir surut. Bagi banjir terbaharu, data masih belum diperoleh,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau mengakui harga sayur yang dilaporkan meningkat sehingga 50 peratus kebelakangan ini turut dipengaruhi faktor cuaca terutama musim tengkujuh di utara Semenanjung.

“Harga sayur ini memang sentiasa turun naik mengikut pasaran. Kadang-kadang bila musim tengkujuh, harga akan sedikit meningkat.

“Apabila musim sudah pulih, harga akan kembali seperti biasa. Harga sayur ini memang 'fluctuate' dari semasa ke semasa termasuk yang diimport dari luar negara,” jelasnya.

Tambahnya lagi, keadaan itu menyebabkan peniaga berasa tertekan apabila harga terlalu murah, manakala pengguna pula gembira apabila harga turun.

“Kerajaan akan sentiasa mencari jalan untuk seimbangkan keadaan antara keseronokan pengguna dan juga tekanan yang dirasai penjual,” ujarnya.