Grab Malaysia luaskan akses mobiliti dengan GrabAssist

Iklan
(Dari kiri) Ketua Pejabat Penyelaras Residen PBB dan Strategi untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam,Juanita Joseph;Wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam,Edward Vrkic;Pengerusi Forum Ketidakupayaan ASEAN,Dr Lim Puay Tiak;Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Nancy Shukri, Pengarah Grab Malaysia,Rashid Shukor;Naib Pengerusi Forum Ketidakupayaan ASEAN, Sazali Shaari, Presiden MFD,Mohd. Norhisham Aluwi dan Naib Presiden PPEOFM,Teong Siew Queen ketika pelancaran GrabAssist pada Forum Ketidakupayaan ASEAN 2025

GRAB Malaysia mengumumkan pelancaran GrabAssist sebuah inisiatif bertujuan memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pengguna alat bantuan mobiliti peribadi agar dapat bergerak dengan lebih bebas dan berdikari.

Dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada pembukaan Persidangan ASEAN Disability Forum 2025 sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia, GrabAssist menawarkan penyelesaian mobiliti kepada segmen pasaran yang kurang diberi perkhidmatan, khususnya mereka yang memerlukan pilihan pengangkutan lebih mudah diakses sama ada untuk berulang-alik dari rumah, pusat jagaan atau hospital.

Iklan
Iklan

Pengarah Operasi Negara & Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, pihaknya komited memastikan semua orang dapat bergerak secara berdikari dengan mudah dan GrabAssist merupakan elemen penting dalam komitmen ini.

“Inisiatif ini direka untuk memastikan penumpang yang memerlukan sokongan tambahan dapat melakukan perjalanan dengan lebih yakin dan selesa, dibantu rakan-pemandu yang dilatih untuk memberikan bantuan yang tepat.

Iklan

“Kami sentiasa mendengar keperluan masyarakat dan menambah baik platform kami berdasarkan maklum balas anda. Kami sedar masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan perkhidmatan kami benar-benar inklusif.

“Langkah awal melalui GrabAssist ini membantu kami menangani cabaran utama yang dihadapi kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dan kami berharap dapat meluaskan barisan rakan kerjasama bagi menyediakan akses mobiliti yang lebih menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Majlis pelancaran GrabAssist turut disaksikan wakil daripada ASEAN Disability Forum, pejabat Penyelaras Residen PBB serta Persekutuan Orang PEKAK Malaysia (MFD).

Perkhidmatan ini dilancarkan di Lembah Klang melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MFD dan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).

Inisiatif akan bermula dengan hampir 100 rakan-pemandu yang telah menerima latihan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan bertauliah.

Latihan tersebut membekalkan mereka kemahiran untuk mengendalikan peralatan mobiliti seperti kerusi roda dan alat bantu jalan serta memberikan sokongan profesional dan bersifat empati.

Mereka turut dilengkapi dengan kit GrabAssist yang merangkumi kad selak (flip card) bagi komunikasi dalam kereta, membolehkan mereka berkomunikasi dan memberikan bantuan kepada pelanggan dengan lebih berkesan.

Pelanggan boleh memilih perkhidmatan GrabAssist melalui Advance Booking di aplikasi Grab.

Kemudahan ini membolehkan mereka menempah kenderaan yang sesuai dipandu oleh rakan-pemandu terlatih pada waktu yang mereka perlukan.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohd Norhisham Aluwi berkata, mobiliti bukan sekadar perjalanan ia adalah gerbang kepada kebebasan, kesaksamaan dan peluang.

“Namun, bagi berjuta-juta OKU di seluruh Asia Tenggara, mobiliti kekal menjadi salah satu cabaran terhebat.

“GrabAssist membuktikan hasil yang mampu dicapai apabila kita mengutamakan aksesibiliti, kerjasama dan pemerkasaan,”katanya.

Ujar beliau,usaha-usaha ini bukan hanya berkaitan pengangkutan malah bertujuan membina sebuah masyarakat di mana setiap orang,tidak mengira keupayaan mempunyai peluang yang sama untuk maju.

Pada masa sama, Grab komited untuk memperhalusi dan memperluas liputan perkhidmatan GrabAssist dengan menambah bilangan rakan-pemandu terlatih serta memperkenalkan card tambahan bagi memenuhi keperluan komuniti dengan lebih baik.

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Grab untuk memupuk peluang ekonomi inklusif dengan memperkasa lebih 3,000 rakan-pemandu dan rakan-penghantar OKU di Malaysia semenjak 2018 dan lebih 5,140 individu di seluruh Asia Tenggara setakat 2024.

Bersempena pelancaran ini, Grab menawarkan promosi potongan RM14 untuk setiap perjalanan GrabAssist bermula 3 hingga 17 Disember 2025.

Untuk menikmati diskaun ini, pelanggan perlu memilih jenis perkhidmatan GrabAssist di aplikasi Grab di bawah Advance Booking.

Setelah Memilih waktu pengambilan (pick-up) yang diingini, klik butang “Offers” untuk menambah promosi tersebut.

Tawaran ini hanya terbuka kepada pelanggan yang layak.

GrabAssist pada masa ini hanya tersedia di Lembah Klang, dengan rancangan ke bandar-bandar lain pada masa akan datang.