Shamsul Iskandar, Albert Tei berdepan lima pertuduhan rasuah

Iklan
Azam (tengah) dalam sidang akhbar pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei yang disiasat berhubung kes rasuah masing-masing akan dituduh dengan lima pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, manakala pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Shamsul Iskandar akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala Albert Tei dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta sama kerana memberi rasuah.

"Bagi satu lagi pertuduhan masing-masing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Iklan

"Seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong tidak dituduh di mahkamah dan diklasifikasikan sebagai saksi dalam kes.

"Dalam tempoh seminggu siasatan saya merakamkan pengharagaan kepada pegawai yang menjalankan tugas dan seramai 32 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan tidak termasuk tiga individu (Shamsul, Albert, Sofia) terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, SPRM telah ambil tidakan proaktif dan segera membuka kertas siasatan pada 26 November lalu.

Tambahnya, kes dikategorikan sebagai berkepentingan awam kerana melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan mendapati liputan pelaporan yang meluas.

"Kita telah buka kertas siasatan di bawah Akta SPRM 2009. Atas keperluan itu saya arahkan jalankan siasatan dan keluarkan kenyataan bahawa kes perlu disiapkan dalam tempoh seminggu," ujarnya.

Jelas Azam, dalam kes ini tiga individu telah ditangkap iaitu Shamsul Iskandar, Albert Tei dan Sofia Rini.

"Seperti mana saya katakan siasatan dijalankan secepat mungkin dan siasatan telah pun lengkap," ujarnya.

Sebelum ini kecoh berhubung dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Berikutan itu, Albert dan Shamsul Iskandar direman enam hari sehingga 4 Disember, manakala Sofia Rini direman empat hari.

Permohonan penahanan reman dibuat SPRM bagi membolehkan pegawai penyiasat mengumpulkan bukti serta keterangan berkaitan.