Tak sempat elak tanah runtuh, kereta dipandu pemuda terjunam dalam gaung

Iklan
Keadaan kereta jenis Proton Satria Neo dipandu remaja berusia 19 tahun terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang–Lojing di Gua Musang awal pagi Rabu. Foto: PDRM

GUA MUSANG – [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda nyaris maut selepas kereta jenis Proton Satria Neo yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang–Lojing di sini awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa yang berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Pasir Puteh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi, mangsa tidak sempat mengelak runtuhan tanah yang menutupi jalan sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung.

“Mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

 

 

Iklan

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa yang berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Pasir Puteh.Foto: PDRM

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam masa sama, Choon Foo menasihatkan orang ramai supaya tidak melalui jalan yang telah diisytiharkan tutup oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap mana-mana individu yang ingkar arahan,” katanya.

Beliau memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau 013-3010408 bagi membantu siasatan.