MALDIVES – Seorang pelancong wanita dari China mengalami kecederaan selepas diserang jerung ketika menyertai kursus menyelam di Maldives.
Kejadian itu berlaku selepas wanita berusia 26 tahun itu memutuskan untuk memasuki air semasa haid, berdasarkan nasihat yang ditemuinya secara dalam talian bahawa ia selamat untuk berbuat demikian.
Menurut laporan Oriental Daily News, wanita itu menggunakan tuala wanita sebelum menyelam dan tetap meneruskan aktiviti kerana ingin merakam gambar untuk Instagram.
Video yang dikongsi oleh 8world menunjukkan kesan gigitan mendalam pada pergelangan tangannya.
Saksi memberitahu bahawa wanita berkenaan sempat ketawa ketika lukanya dibalut dan pada awalnya enggan meninggalkan air.
Seorang rakan menasihatinya bahawa kecederaan itu berisiko menyebabkan amputasi jika semakin teruk, menurut laporan Mothership.
Wanita itu mendakwa tidak merasakan kesakitan yang teruk dan percaya jerung mungkin tertarik dengan gelang perak yang dipakainya.
Dia dikatakan membersihkan luka sendiri dan hanya mendapatkan rawatan selepas desakan rakan.
Akhirnya, wanita itu menerima suntikan tetanus di sebuah klinik tempatan sebelum pulang ke China.
Sementara itu, pakar menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan haid meningkatkan risiko digigit jerung dan tekanan air biasanya menghentikan aliran haid semasa berenang.