PELAKON, penyanyi dan hos terkenal, Erra Fazira mengumumkan bakal berkahwin dengan pilihan hatinya, Ezwan Zain atau 'Mr E' pada 12 Disember ini.
Majlis pernikahan akan berlangsung di Shah Alam, Selangor dan pasangan merpati dua sejoli itu bakal diraikan dalam majlis resepsi pada 13 Disember.
Demikian pengumuman gembira dikongsikan primadona filem Melayu itu sebentar tadi ketika majlis pelancaran video muzik Cinta Abadi yang juga merupakan lagu tema perkahwinan mereka.
“Iya, insya-ALLAH kami akan menikah pada 12 Disember ini yang bagi saya ia tarikh keramat. Doakan agar ini menjadi pernikahan yang berkat buat kami berdua,” ujar Erra dalam nada sebak.
Perkahwinan bersama Ezwan, 44, bakal menjadi yang ketiga buat Erra, 51, selepas lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.
Sebelum ini, ikatan perkahwinan yang dibina Erra bersama pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim terlerai apabila kedua-duanya rasmi berpisah pada 2006.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek kemudian mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Engku Aleesya sebelum bercerai pada 2014.