IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membidas fitnah yang dibuat wakil rakyat dari Pas iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Mohamad Husairi Ariffin kononnya sebuah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di Kampung Tawai, Gerik dibatalkan.
Dalam jawapannya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2026, beliau turut menafikan dakwaan Mohamad Husairi bahawa projek tersebut telah mendapat kelulusan RM50 juta serta mendapat bantahan daripada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan penduduk setempat.
Menurutnya, projek dimaksudkan ialah Program Pembangunan Kawasan (PPK) yang baru dihantar cadangan permohonan kepada Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dimasukkan ke dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) malah peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) belum diluluskan.
"Kampung Tawai itu di Gerik, dalam kawasan Parlimen Lenggong. Saya ini Ketua UMNO Bahagian Lenggong. Saya tak akan biarkan perkara itu berlaku. Sebab itu saya rujuk, saya telefon DO. Saya cari maklumat benar. Saya telefon Datuk Seri Shamsul (Ahli Parlimen Lenggong). Saya telefon orang Tawai. Adakah dakwaan dibuat oleh ADUN Kenering ini benar? Tidak benar.
"Memang betul ada bantahan orang Kampung Tawai sebab tempat itu sudah pun ada cadangan nak dibuat RPT (Rancangan Perkampungan Tersusun). Pentadbiran daerah mengambil kira bantahan itu maka nak diubah ke tempat lain, bukan dibatalkan," katanya.
Saarani mengingatkan ADUN-ADUN agar berhati-hati dalam melontarkan pandangan atau hujah ketika berbahas di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Ini Dewan Perundangan maksudnya kita tidak boleh berbahas dengan menggunakan perkara-perkara yang tidak benar maknanya kita boleh berhujah dengan menggunakan perkara-perkara luar fakta sebenar.
"Setiap keputusan yang dibuat ia menjadi undang-undang sebab itu kita ada Perintah-Perintah Tetap DUN Perak," katanya.
Saarani dalam ucapannya turut menegur dan menjawab persoalan dibangkitkan wakil rakyat pembangkang iaitu Ahmad Man (PN-Kuala Sepetang), Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) serta Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) mengenai isu pelaburan, peruntukan sekolah rendah agama rakyat serta laporan kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Sementara itu, Mohamad Husairi kemudian bangun mencelah ketika perbahasan dengan mengemukakan permohonan maaf di dalam Dewan.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Yang di-Pertua dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beri laluan kepada saya. Saya memohon maaf jikalau fakta yang saya sebut itu merupakan kesalahan dengan apa yang sebenarnya. Saya akur dengan apa jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar," katanya.