Syarikat hartanah, import eksport rupanya sarang pelacuran

Iklan
Antara individu yang ditahan dalam serbuan JIM di sini pada Isnin.

KLANG - Seorang lelaki dikenali sebagai 'Kevin' dipercayai bertindak sebagai dalang kegiatan pelacuran dengan berselindung di sebalik sebuah syarikat pengurusan hartanah dan import eksport.

Aktiviti itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah rumah kedai tiga tingkat di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Serbuan yang dijalankan pada jam 10.25 malam itu mendapati, premis berkenaan dijadikan sarang pelacuran dan diuruskan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Kapten’.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 17 warga asing ditahan dalam operasi yang digerakkan susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

Iklan

JIM menyerbu rumah kedai tiga tingkat di sini pada Isnin.

Menurutnya, operasi turut membabitkan 14 pegawai pelbagai pangkat yang melakukan pemeriksaan ke atas 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warganegara asing selain seorang lelaki serta dua kanak-kanak lelaki tempatan.

Iklan

“Hasil pemeriksaan mendapati, lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Modus operandi kegiatan itu adalah menyediakan tempat penginapan bagi wanita warga asing untuk menjalankan aktiviti pelacuran dengan berselindung di sebalik papan tanda nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport pada bangunan tersebut.

Antara individu yang ditahan dalam serbuan JIM di sini pada Isnin.

“Sarang pelacuran ini diuruskan seorang lelaki Bangladesh yang bertindak sebagai ‘kapten’ atau penjaga premis, dengan sasaran pelanggan dalam kalangan warga asing berhampiran lokasi berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, seorang pelanggan warga asing turut mengaku membayar antara RM50 hingga RM80 bagi setiap sesi perkhidmatan seks melalui ‘kapten’.

“Setiap wanita dianggarkan memperoleh keuntungan RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.

“Siasatan awal turut mendapati ‘kapten’ berkenaan diupah seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Kevin’ untuk mengendalikan kegiatan tidak bermoral itu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di setiap bilik juga menemui pelbagai peralatan berkaitan aktiviti seks termasuk kondom dan gel pelincir.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.