Operasi perobohan kediaman bagi projek WCE berjalan lancar - Polis

Iklan
Operasi perobohan pencerobohan tanah kerajaan bagi memberi laluan projek WCE di Kampung Jawa pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Operasi perobohan kediaman di Kampung Jawa bagi projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Klang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepanjang operasi dijalankan keadaan baik dan terkawal dengan jumlah keanggotaan mencukupi.

Iklan
Iklan

"Kerjasama masyarakat baik dan saya ucapkan terima kasih.

"Tiada tangkapan setakat ini dan pihak polis sentiasa membuat persiapan bagi memastikan keadaan terkawal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Iklan

Sinar Harian melaporkan, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 WCE, Klang yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar itu mula dirobohkan seawal jam 8 pagi.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan secara terperinci mengenai situasi melibatkan jajaran 150 meter yang menjadi punca utama projek WCE yang kini lebih 90 peratus siap tetapi masih tergendala.

Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk enggan mematuhi arahan turut menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan projek lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.