Alexander jalan tugas Menteri KUSKOP

Iklan
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa Rabu.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa Rabu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

"Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan diberikan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Menteri KUSKOP," katanya pada Selasa.

Ewon pada 8 November lalu mengumumkan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan di laman sosial susulan tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Iklan

Ia terkait keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober yang memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Dalam pada itu, Alexander menzahirkan komitmennya untuk memastikan kerja-kerja KUSKOP berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS, koperasi dan rakyat secara keseluruhan.

Iklan

Beliau turut berharap agar dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran beliau di KUSKOP.

"Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri atas kepercayaan diberikan.

"Pelantikan ini akan saya galas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi KUSKOP.

"Saya juga menghargai segala sumbangan Datuk Ewon Benedick sepanjang beliau menerajui KUSKOP," katanya dalam kenyataan pada Selasa.