DUBAI - Sebuah restoran di Dubai mempunyai tarikan tersendiri kerana mencipta cef janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pertama di dunia.
Salah sebuah bandar tumpuan pelancong di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu cuba menampilkan kelainan memandangkan ribuan premis sudah pun menawarkan restoran mewah bertaraf bintang Michelin.
Woohoo memperkenalkan cef Aiman yang dilatih menggunakan ribuan resipi dan puluhan tahun penyelidikan kulinari serta gastronomi molekul.
“Cef Aiman boleh mengoptimumkan menu dan mengimbangi rasa, namun masih memerlukan 'campur tangan' cef sebenar.
“Buat masa ini, penyediaan makanan masih menggunakan tenaga manusia,” menurut jurucakap restoran itu yang turut dilengkapi animasi sains fiksyen dan hologram janaan AI.
Sementara itu, pengasas bersama Woohoo, Ahmed Oytun Cakir percaya AI akan menghasilkan hidangan lebih enak berbanding manusia pada masa depan. - AFP