KOTA KINABALU - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memuat naik status di media sosial yang dipercayai ada kaitan dengan pelantikan ADUN Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet kerajaan negeri Sabah, yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Antara yang menyuarakan isi hati mereka ialah ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang menyatakan bahawa rakyat akan menilai pemimpin berdasarkan prinsip dan pendirian tegas.
"Kita akan dinilai berdasarkan prinsip dan pendirian tegas kita yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya melalui akaun Facebook rasminya, pada Isnin.
Sementara itu, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya turut meluahkan perasaannya dengan menegaskan bahawa demi maruah, beliau tetap dengan pendiriannya untuk menolak BN.
“Demi maruah saya, keluarga dan penyokong saya, ‘No BN’,” tulisnya dalam satu kenyataan ringkas di media sosial.
Pada Isnin, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah menganggotai Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah selepas dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRN17.
Daripada 10 individu tersebut, tujuh ADUN mewakili GRS, manakala masing-masing seorang diwakili oleh Pakatan Harapan (PH), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan BN.
Wakil rakyat BN yang menganggotai barisan Jemaah Menteri ialah Datuk Jafry Ariffin, yang merupakan ADUN Sukau, dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.