SHAH ALAM - Tindakan tegas termasuk dibuang kerja akan dikenakan terhadap pegawai dan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta institusi pendidikannya yang didapati terbabit dengan aktiviti songsang.
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian tegas itu dimaklumkan dengan jelas kepada pengurusan institusi itu.
"Pengurusan Mara tahu pendirian tegas saya, jika ada pegawai mahupun staf Mara atau di mana-mana Institusi Pendidikan Mara terlibat dengan aktiviti songsang, tindakan keras sehingga dibuang kerja wajib diambil," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Penegasan itu disuarakan susulan penahanan 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Kuala Lumpur yang disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang, Jumaat lalu.
Daripada jumlah itu, 17 daripadanya adalah penjawat awam antaranya doktor bedah, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Asyraf Wajdi turut mendedahkan bahawa tindakan sama pernah diambil terhadap beberapa pegawai yang dikesan terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu.
"Saya pernah mempengerusikan Jawatankuasa Majlis Mara berkenaan tatatertib pegawai. Pernah beberapa kes melibatkan pegawai berperangai songsang dan melakukan aktiviti songsang yang dibuat keputusan untuk dibuang kerja tanpa kompromi mahupun kasihan belas.
"Mana mungkin anak bangsa yang sedang dididik dan dibimbing oleh Mara dicorakkan oleh guru, pensyarah dan pegawai berpekerti songsang," katanya.