Nahas van kilang: Polis jalankan siasatan terperinci

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai seorang maut manakala tujuh parah apabila van kilang terbabas. Gambar kecil: Abdul Rozak

GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan maut membabitkan sebuah van kilang yang terbabas di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus awal pagi Isnin hingga meragut nyawa seorang penumpang wanita.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, van terbabit yang dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun dari Teluk Bahang menuju Bayan Baru dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok di bahagian kanan jalan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seorang wanita berusia 50 tahun yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 6.17 pagi akibat kecederaan parah di kepala.

“Bedah siasat di Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan punca kematian adalah kecederaan kepala konsisten dengan kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Abdul Rozak berkata, pemandu van mengalami kecederaan parah, manakala enam lagi penumpang wanita berusia 21 hingga 53 tahun turut cedera dan kini menerima rawatan di HPP.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dijalankan.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, mangsa yang maut, Norehan Abdul Ghani, 50 maut di lokasi kejadian manakala tujuh lagi cedera parah selepas van kilang yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan.

Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam wanita yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Baru.

Kesemua yang terlibat berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun.