KOTA KINABALU - Perikatan Nasional (PN) Sabah setakat ini memilih untuk bergerak secara sendiri dalam menghadapi landskap politik negeri, kata Timbalan Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
"Setakat ini PN bergerak sendiri,” katanya mengulas sama ada gabungan tersebut akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang baharu selepas Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah awal pagi Ahad sebagai Ketua Menteri Sabah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Sementara itu, berhubung kecenderungan pengundi di kawasan tertentu, Dr Aliakbar yang berjaya memenangi kerusi sulung PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai berkata, rakyat Sabah mempunyai pendekatan tersendiri dalam menilai calon politik.
Menurutnya, pilihan mereka sering berasaskan keperibadian dan kemampuan individu, berbanding hanya melihat kepada parti semata-mata dan juga yang didakwanya berlaku politik wang.
"Ya betul. Rakyat Sabah cenderung pilih orang. Rakyat Sabah juga tidak terikat dengan ‘politik wang’," katanya.
Aliakbar berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan meraih 7,054 undi dalam pertandingan 11 penjuru pada PRN Sabtu lalu, yang turut menyaksikan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan, turut bertanding.
Sebelum itu, Hajiji daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh 29 kerusi dilaporkan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan sokongan parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) yang memenangi satu kerusi, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dengan tiga kerusi serta lima calon bebas yang berjaya memenangi DUN masing-masing.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan sokongan yang diterima sebanyak 38 kerusi, iaitu mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.