Banjir semakin pulih, NGO gerakkan misi pascabanjir

Iklan
Zuraidi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana, Alor Setar.

ALOR SETAR – Keadaan banjir di Kedah menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun secara berperingkat sekali gus membuka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melancarkan misi bantuan pascabanjir.

Setakat pagi Ahad, seramai 1,072 mangsa daripada 512 keluarga masih berlindung di 11 PPS sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu berbanding 1,817 mangsa daripada 533 keluarga yang direkodkan pada Sabtu malam.

Iklan
Iklan

Susulan itu, beberapa NGO tempatan mula digerakkan bersama sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa yang pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.

Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, antara gerak kerja yang diselaraskan adalah membersihkan rumah mangsa banjir selain menyalurkan keperluan asas seperti bakul makanan dan sokongan kewangan.

Iklan

Menurutnya, keperluan pascabanjir seperti mencuci rumah dan membuang sisa lumpur merupakan antara cabaran utama yang membebankan mangsa selepas pulang ke kediaman masing-masing.

“Kita bukan sekadar beri bantuan makanan dan kewangan, tetapi turut bantu mereka bersihkan rumah. Ini sebenarnya yang paling memenatkan dan memerlukan sokongan ramai,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Perdana di sini.

Iklan

Zuraidi berkata lagi, pihaknya akan menyelaraskan penglibatan NGO yang berminat untuk digabungkan bersama sukarelawan JKM mengikut kawasan masing-masing bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar dan berkesan.

Beliau turut memuji komitmen JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penghulu yang bertugas tanpa henti selama lebih lima hari dalam usaha menangani krisis banjir.

“Kehadiran NGO yang sentiasa aktif membantu masyarakat adalah langkah terbaik. Sebagai sukarelawan, kami akan sentiasa bersama agensi bertanggungjawab dalam meringankan beban mangsa banjir di Kedah dan negeri lain,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 5,000 bakul makanan telah disediakan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negeri, dengan lebih 1,000 daripadanya telah disampaikan kepada keluarga yang terjejas sepanjang tempoh bencana.