Terima kasih atas mandat ini - Hajiji

Iklan
Hajiji menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kemenangan yang diperoleh gabungan tersebut sebagai kemenangan rakyat.

Beliau yang baru selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, turut berterima kasih atas mandat yang diberikan kepadanya.

Iklan
Iklan

"Terima kasih atas mandat ini. Kemenangan ini adalah kemenangan rakyat. Ia milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita, dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah yang lebih cerah.

"Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda," katanya dalam kenyataan pada awal pagi Ahad.

Iklan

Tambah beliau, sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan GRS telah menjadi pemangkin kepada kemenangan tersebut.

"Marilah kita meraikan kemenangan ini sebagai permulaan kepada sebuah bab baharu, yang dipenuhi dengan tujuan yang diperbaharui serta tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Iklan

Hajiji turut berkata bahawa, sejak awal lagi, komitmen GRS adalah untuk memupuk perubahan dan kemajuan melalui agenda pembangunan holistik dan inklusif ‘Hala Tuju Sabah Maju Jaya’ (SMJ).

"Kita berusaha untuk menggerakkan pembangunan yang bermakna dan membina jambatan yang menyatukan, bukannya memisahkan.

"Kita kekal teguh dalam meneruskan kesinambungan SMJ 2.0, yang menumpukan kepada empat tonggak utama: Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper), dan Sabah Bersatu (Sabah United)," katanya.

Hajiji turut menegaskan komitmen penuh GRS untuk bekerja tanpa henti bagi memperjuangkan harapan dan aspirasi semua rakyat Sabah.

"Bersama-sama, kita akan menghadapi cabaran, merebut peluang baharu, dan memastikan setiap suara, walau sekecil mana sekalipun, didengari dan dihargai.

"Marilah kita terus bekerjasama sebagai rakan kongsi aktif dalam perjalanan kemajuan ini. Dengan perpaduan sebagai kekuatan kita, marilah kita melangkah ke hadapan bersama-sama dan memastikan kemenangan ini benar-benar membawa makna.

"Kepada semua pihak lawan kita yang telah bertanding bersama kita sepanjang pilihan raya ini, marilah kita merapatkan saf dan merangkul semangat demokrasi dengan bersatu padu.

"Marilah kita membina kepercayaan dan beriltizam untuk bekerja secara kolaboratif demi berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan dan demi kebaikan Sabah secara keseluruhan," katanya.