KOTA KINABALU - Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan dan Melalap menjadi dua kerusi pertama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi SPR Malaysia, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bagi 71 lagi Bahagian Pilihan Raya Negeri yang akan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di seluruh Sabah.
Iklan
Iklan
“SPR ingin memaklumkan bahawa proses penjumlahan undi mengambil masa sedikit masa yang lebih panjang berikutan persaingan calon beberapa penjuru, di samping faktor muka bumi dan logistik di beberapa kawasan pedalaman untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).
“SPR memberi jaminan untuk mengendalikan proses penjumlahan rasmi undi ini berjalan dengan telus, cekap dan mengikut lunas undang-undang. Keputusan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sabah mempunyai sebanyak 73 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah yang diperlukan ialah 37 kerusi. - Bernama