Sinar Harian rangkul 2 emas, 1 gangsa di MPRA 2025

Iklan
Sinar Harian meraih tiga anugerah berprestij pada MPRA di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sinar Harian berjaya meraih tiga anugerah pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2025 yang berlangsung pada Jumaat, termasuk dua anugerah emas dan satu gangsa.

Karya 'Tanah kami dalam laut, sungai' yang mendedahkan krisis hakisan pantai dan tebing sungai yang serius di Malaysia oleh wartawan Diana Azis, Hazelen Liana Kamarudin, Saifullah Ahmad, Norhaspida Yatim dan Norazwani Yusof menerima anugerah emas dalam kategori Tanggungjawab Sosial (Media Cetak).

Iklan
Iklan

Sinar Harian juga membawa pulang satu lagi anugerah emas dalam kategori Isu dan Liputan Krisis (Media Cetak) melalui laporan 'Tanahku tiba-tiba milik orang' yang dihasilkan wartawan Ahmad Ismadi Ismail, Norafiza Jaafar, Adila Sharinni Wahid, Izwan Rosli, Normawati Adnan, Nuratikah Athilya Hassan dan Aisyah Basaruddin.

Selain itu, Sinar Harian turut meraih anugerah gangsa bagi kategori Liputan Gaya Hidup (Media Cetak) menerusi laporan 'Cef Safura tawan Jepun dengan bunga telang' oleh Zaiton Abdul Manaf.

Iklan

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, ia adalah kemenangan pertama Sinar Harian dalam MPRA.

Beliau menyifatkan kemenangan itu amat bermakna berikutan kedua-dua laporan berita berkenaan menyentuh permasalahan dan isu setempat masyarakat lebih terperinci.

Iklan

"Artikel 'Tanah kami dalam laut, sungai' adalah laporan khas melibatkan pasukan wartawan dari ibu pejabat bersama wartawan dari beberapa negeri.

"Ia bukan sahaja mendedahkan keluh kesah rakyat mengenai tanah dan kediaman mereka yang dihakis ombak laut dan air sungai, bahkan hakikatnya ia adalah isu nasional yang semakin membimbangkan apatah lagi pada musim monsun seperti sekarang," ujarnya.

Tambah Zamri, kemenangan itu menjadi pembakar semangat buat wartawan,  tambahan beberapa hari saja lagi Sinar Harian akan berwajah baharu seiring dengan usianya bakal menganjak tahun ke-20 pada 2026.

Sementara itu, Ketua Wartawan Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad berkata, kemenangan itu merupakan satu penghargaan yang memberi suntikan semangat untuk menghasilkan karya berkualiti.

"Ia juga membuktikan keprihatinan Sinar Harian terhadap isu-isu yang rapat dengan rakyat dan mencari penyelesaian sewajarnya," katanya.

MPRA 2025, anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysic (PRCA) menerima 104 penyertaan dan menawarkan 42 anugerah emas, 35 perak dan 32 gangsa menerusi 28 kategori.