Pelajar SMK Sungai Kertas didedahkan peranan SPRM

Iklan
Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Selangor, Rosmadi Kasim (duduk, tengah) dan Harisson (duduk, kiri) bersama pelajar yang terlibat dalam program dianjurkan di Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM – Isu rasuah, kepentingan integriti serta peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara pendedahan diberikan kepada 56 pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, Gombak dalam program kolaborasi bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada Jumaat.

Program anjuran SPRM Selangor itu bertujuan meningkatkan pemahaman awal pelajar mengenai bahaya rasuah serta memupuk nilai integriti dalam komuniti sekolah.

Iklan
Iklan

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, program berkenaan berjaya memperkukuh persepsi positif pelajar terhadap agensi itu selain meningkatkan kesedaran mereka mengenai keperluan membanteras jenayah rasuah.

"Usaha ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa inisiatif jangka panjang SPRM untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan integriti.

Iklan

"Ia turut menyokong agenda negara memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara pengisian termasuk taklimat antirasuah, kuiz, tayangan video integriti, sesi perkongsian pengalaman pegawai SPRM serta interaksi bersama maskot rasmi SPRM, Kapten MACC.

Iklan

Pengetua SMK Sungai Kertas, Harisson Abdul Hamid dan empat guru pengiring turut menzahirkan komitmen terhadap pendidikan integriti di sekolah berkenaan.

Program tersebut menyaksikan pelajar teruja dengan pendedahan diterima dan mengakui memperoleh pemahaman lebih dekat mengenai isu rasuah serta peranan SPRM.

Mohd Azwan berkata, penganjuran program itu dianggap satu kejayaan dan akan dijadikan model untuk diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di Selangor bagi melahirkan generasi pelajar berintegriti dan mampu menjadi penyampai mesej antirasuah dalam komuniti.